KENYATAAN MEDIA

GARIS PANDUAN HAK CIPTA (ORGANISASI PENGURUSAN KOLEKTIF) 2025 (“GARIS PANDUAN CMO”) KEPERLUAN UNTUK PENGLIBATAN DAN PERBINCANGAN YANG KOMPREHENSIF


19th Mac 2025, KUALA LUMPUR: Kami, organisasi-organisasi pengurusan kolektif industri muzik, Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) menyuarakan kebimbangan berhubung Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif 2025) yang telah diterbitkan di laman web rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 17 Januari 2025 dan merujuk kepada kenyataan media oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Armizan Bin Mohd Ali, dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 17 Mac 2025.

Semasa Sesi Libat Urus (SLU) anjuran Bahagian Hak Cipta MyIPO bersama pengurusan organisasi pengurusan kolektif pada 12 Mac 2025 lalu, pihak MACP, PPM dan RPM telah meluahkan pendirian kami bahawa Garis Panduan yang diterbit telah dimuktamadkan secara unilateral tanpa konsultasi dengan kami dan kebanyakan peruntukkan dalam Garis Panduan adalah ‘ultra vires’, iaitu melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan bercanggah dengan undang-undang lain yang berkuatkuasa. Berikutan itu, kami berpendapat bahawa Garis Panduan tersebut tidak sewajarnya diterima pakai oleh kami.

Garis Panduan Hak Cipta dikatakan bertujuan untuk memperkemaskan tadbir urus dan operasi organisasi pengurusan kolektif (“CMO”) di Malaysia, namun pendekatan yang diambil dalam penyediaan Garis Panduan tersebut menimbulkan keraguan di kalangan CMO dan pemegang hak cipta. Kami berpendapat bahawa beberapa peruntukan Garis Panduan tersebut melampaui autonomi dan kebebasan CMO dalam menjalankan operasi utama mereka, iaitu melindungi kepentingan pemegang hak cipta.

"Selama ini, MACP melaksanakan urus tadbir operasi yang mengikut amalan terbaik antarabangsa. Sebagai ahli CISAC (International Confederation of Societies of Authors and Composers), kami tertakluk kepada peraturan dan garis panduan antarabangsa yang ketat yang ditetapkan oleh CISAC. Kami menghormati usaha Kerajaan dalam menambah baiki tadbir urus industri hak cipta, namun kami tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk berbincang dan menyuarakan pandangan. Tanpa perbincangan yang jelas dengan pihak berkepentingan, pelaksanaannya boleh memberi kesan negatif kepada ekosistem hak cipta dan kelangsungan hidup para pencipta seperti saya, yang bergantung kepada pendapatan hasil pendapatan royalti daripada badan pengurusan kolektif." – Dato’ Mohd Nasir bin Mohamed, Pengerusi MACP

"PPM adalah sebuah Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang mewakili kepentingan pemilik-pemilik hak cipta rakaman lagu dan video yang merupakan pelabur utama dalam industri muzik tempatan. PPM juga adalah ahli IFPI (International Federation of the Phonographic Industry), iaitu sebuah badan yang mewakili industri rakaman sedunia. Sebagai ahli IFPI, PPM sentiasa menambahbaik operasinya agar selari dengan amalan terbaik sedunia. Kami menyambut baik inisiatif MyIPO untuk menerbitkan Garis Panduan CMO yang bertujuan untuk menambahbaik tatakelola CMO sedia ada di Malaysia. Walaubagaimanapun, matlamat ini tidak boleh dicapai jika rundingan terperinci tidak diadakan dengan pihak kami terlebih dahulu untuk memastikan Garis Panduan CMO yang diterbitkan betul-betul melindungi kepentingan para pelabur yang menjadi ahli kami. Sebaliknya, Garis Panduan CMO yang bermasalah akan memberi kesan negatif kepada pengurusan syarikat kami yang akan sekali gus menjejaskanpendapatan para pelabur dan ekonomi negara. Oleh itu, kami sedia bekerjasama dengan MyIPO untuk membuat pindaan yang diperlukan kepada Garis Panduan CMO yang diterbitkan agar ia dapat mencapai matlamatnya." – Rosmin bin Hashim, Pengerusi PPM

"Kami menghargai usaha kerajaan dalam meningkatkan tadbir urus industri hak cipta. Namun, sebagai Badan Pengurusan Kolektif di Malaysia, kami bukan sahaja mewakili artis tempatan tetapi juga artis antarabangsa. Oleh itu, kami telah lama komited kepada amalan urus tadbir yang selaras dengan piawaian antarabangsa. Kami berpegang teguh kepada amanah kami untuk mewakili dan melindungi pemegang hak cipta. Walau bagaimanapun, pelaksanaan garis panduan yang baru ini menunjukkan banyak percanggahan. Kami percaya bahawa kami sepatutnya dilibatkan dalam proses perbincangan sebelum sebarang keputusan atau garis panduan rasmi dikeluarkan. Garis panduan ini, yang berpotensi menjejaskan operasi kami, sudah tentu berisiko menjejaskan bayaran royalti kepada ramai artis. Tanpa perbincangan yang adil dan telus, ia boleh memberi kesan negatif terhadap masa depan industri muzik serta kebajikan pemegang hak cipta. " - Dato’ Hajah Sheila Majid, Pengerusi RPM

Sebagai entiti yang bertanggungjawab dalam melindungi hak pemegang hak cipta, kami berpendirian bahawa sebarang perubahan regulatori yang mengawal selia industri hak cipta perlu dibuat secara telus, adil, dan melalui perbincangan menyeluruh bersama pihak berkepentingan. Langkah pengenalan Garis Panduan ini tanpa konsultasi yang mencukupi boleh memberikan impak negatif terhadap operasi CMO yang sedia ada serta hak pemegang hak cipta dan pemain utama dalam industri muzik Malaysia.

Kami menghargai jaminan pihak berkuasa bahawa Garis Panduan ini hanya akan dimuktamadkan selepas penglibatan menyeluruh dengan para pemegang taruh. Oleh itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pemegang taruh, terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dengan Garis Panduan CMO, bagi memastikan sebarang perubahan peraturan tidak menjejaskan kepentingan industri muzik dan pemegang hak cipta.

Selanjutnya, kami menekankan bahawa sebarang perubahan yang memberi kesan kepada industri hak cipta perlu mengambil kira kehendak dan cabaran yang dihadapi oleh pencipta, pemegang hak cipta pihak yang bergantung kepada sistem pengurusan hak cipta yang berkesan. CMO telah memainkan peranan penting dalam memastikan pemegang hak cipta menerima imbuhan yang sewajarnya atas hasil kerja kreatif mereka. Sebarang perubahan terhadap sistem ini perlu memastikan hak mereka terus dilindungi tanpa gangguan yang tidak perlu.

Kami menyeru KPDN dan MyIPO untuk melibatkan pihak berkepentingan terutamanya CMO secara aktif dalam sesi perbincangan dan konsultasi. Langkah ini bukan sahaja akan membantu dalam membina garis panduan yang lebih komprehensif, tetapi juga memastikan industri muzik dan hak cipta di Malaysia terus berkembang dengan cara yang mampan dan adil. 

MACP, PPM dan RPM kekal komited kami untuk memastikan sistem pengurusan hak cipta di Malaysia kekal adil, telus, dan sejajar dengan perundangan sedia ada demi kepentingan pemegang hak cipta.


Quick Links: Facebook | Instagram | LinkedIn




Back to List News & Event