KENYATAAN MEDIA
Penjelasan Berhubung Kedudukan MACP, PPM dan RPM Mengenai Garis Panduan Hak Cipta (CMO) 2025
20 Mac 2025, KUALA LUMPUR: Kami, badan pengurusan kolektif (CMO) industri muzik—Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM)—ingin memberikan penjelasan terhadap laporan yang disiarkan oleh Free Malaysia Today pada 20 Mac 2025 bertajuk “Music industry bodies oppose new copyright guidelines” dan Dagang News pada 19 Mac 2025 bertajuk “MACP, PPM, RPM bantah garis panduan hak cipta baharu muzik dikeluarkan MyIPO”.
Bertentangan dengan tajuk artikel-artikel tersebut, MACP, PPM dan RPM tidak membantah Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 (Garis Panduan CMO). Sebaliknya, kami telah menyuarakan kebimbangan mengenai proses pembangunan garis panduan tersebut.
Kami menghormati dan menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan ketelusan serta tadbir urus industri hak cipta. Namun, kami menekankan kepentingan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sebelum garis panduan ini dimuktamadkan dan dikuatkuasakan. Sebagai wakil utama pemegang hak cipta, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan bahawa garis panduan ini selaras dengan Akta Hak Cipta 1987, mengekalkan amalan terbaik antarabangsa, dan tidak menjejaskan kutipan serta pengagihan royalti kepada pencipta dan pemegang hak.
Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk mengadakan sesi perbincangan terbuka dan konstruktif bersama CMO serta pemegang kepentingan lain bagi menambah baik garis panduan ini demi kepentingan industri muzik, pemegang hak cipta, dan pelabur. Kami tetap komited untuk bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mencapai rangka kerja regulatori yang adil dan berkesan.
Quick Links: Facebook | Instagram | LinkedIn
Back to List News & Event